Selasa, 7 Jun 2011

Profil Orang Asli




Orang Asli Negrito

Orang Asli Negrito dianggap sebagai Orang Asli yang paling primitif (Means, 1985), terkecil (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, 2008) dan tertua (Carey, 1976) di Malaysia. Orang Asli Negrito membentuk kira-kira 3% daripada populasi keseluruhan Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Orang Asli Negrito dipercayai telah berada di hutan-hutan Malaysia lebih kurang 25,000 tahun yang lepas, diikuti oleh Orang Senoi pada 8,000 tahun yang lepas dan Melayu-Proto pada 4,000 tahun yang lepas (Carey, 1976). Orang Asli Negrito lebih popular dikenali sebagai ‘Semang’ di kalangan ahli-ahli antropologi (Suki Mee, 2009).



Orang Asli Jahai

Orang Asli Jahai merupakan Orang Asli daripada suku bangsa Negrito. Mereka banyak menghuni kawasan pedalaman terutamanya di Timur Laut Perak dan sebelah Barat Kelantan (Amran Kasimin, 1993). Kebanyakan Orang Asli Jahai memilih untuk tinggal samada di kuala sungai atau di pesisiran tasik (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, 2004). Lokasi penempatan mereka ialah di Banun, Sungai Tiang dan pesisir Empangan Temenggor di Perak dan di Kelantan pula, mereka banyak tertumpu di Kampung Sungai Rual dan sekitar Jeli, Hulu Kelantan (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, 2008).

Orang Asli Temiar

Orang Asli Temiar merupakan Orang Asli daripada suku bangsa Senoi yang kedua terbesar selepas Orang Asli Semai. Orang Asli Temiar banyak terdapat di Utara Perak, Selatan Kelantan (Amran Kasimin, 1993) dan Timur Pahang (Baer, Endicott, Gianno, Howell, Nowak, Van Der Sluys, 2006). Pada asalnya, Orang Asli Temiar dikenali sebagai ‘Senoi Serok’ yang bemaksud ‘Orang darat’ dan tinggal di rumah panjang secara berkumpulan (Carey, 1976). Aktiviti ekonomi utama Orang Asli Temiar adalah bertani, memburu, mengumpul hasil hutan dan menangkap ikan.  

*(Maklumat berkaitan Orang Asli diperolehi daripada kajian Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Pensyarah Jabatan Kerja Sosial UUM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...